Sejarah Sekolah
1930 - 1968 Sekolah ini ditubuhkan pada 1930 dan dikenali sebagai ‘Government Trade School’. Pada peringkat awal penubuhannya, institusi ini hanya mengambil 28 orang pelajar sahaja. Tujuan penubuhannya ialah untuk mengisi tenaga kerja di Bengkel Pusat Kereta Api di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Mereka juga perlu menjalani latihan selama tiga tahun sebelum berkhidmat di bengkel tersebut. Pada tahun 1950, sekolah ini ditukarkan namanya kepada ‘Junior Technical Trade School’. Kursus yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Mekanikal, Amalan Bengkel Bata dan Kayu serta Kejuruteraan Elektrik dan Kimpalan. ‘Junior Trade School’ kemudiannya dinaikkan taraf kepada `Secondary Trade School’ pada 1 Januari 1963 dengan mengambil pelajar-pelajar lepasan tingkatan 3, di sekolah-sekolah akademik. Dua kursus baru telah diperkenalkan iaitu Automotif serta Servis Radio dan Televisyen. Bahasa perantaraan yang digunakan ialah Bahasa Inggeris. Subjek-subjek yang diajar ialah Sains Mekanikal, Sains Kejuruteraan, Sains Elektrik dan Sains Bangunan. Peralatan bengkel pula dibekalkan oleh Colombo Plan sehingga tahun 1970.
1969 - 1987 Sekali lagi nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Menengah Vokasional pada tahun 1968. Syarat minima kemasukan ialah pangkat S dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), tetapi mesti lulus Bahasa Malaysia dan mana-mana dua mata pelajaran lain, dan salah satu daripadanya ialah Matematik, Sains atau Seni Ketukangan. Kursus yang ditawarkan mengambil masa dua tahun. Mereka akan menduduki Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia ( SPMV) pada akhir pengajian. Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) diperkenalkan pada tahun 1987. Kurikulum Pendidikan Vokasional turut dipinda sejajar dengan visi dan misi negara ketika itu. Lapan lagi kursus diperkenalkan. Pelajar dinilai semasa tingkatan 4 terhadap kemampuan mereka dalam mata pelajaran akademik dan vokasional.
1988 - 1996 Berdasarkan pencapaian pelajar semasa peperiksaan semester, pelajar boleh memilih sama ada ingin menduduki Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPMV) atau Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada penghujung tingkatan 5. SKM dikendalikan oleh Lembaga Latihan Vokasional Malaysia. Pada tahun 1991, Sekolah Menengah Vokasional, Ipoh menjadi perintis kepada dua aliran pendidikan iaitu Vokasional dan Kemahiran. Syarat minima kemasukan ialah pangkat A atau B dalam Sijil Rendah Pelajaran untuk aliran Vokasional manakala pangkat C atau S untuk aliran Kemahiran.
1997 - Kini Pada 1 Januari 1997, sekolah ini sekali lagi dinaikkan taraf kepada Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, apabila menawarkan aliran Teknikal, Vokasional dan Kemahiran. Kini Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, Ipoh menawarkan satu lagi aliran teknikal iaitu Perdagangan, selain tujuh aliran Vokasional dan satu aliran Kemahiran.
Pada 1 Jan 2011, sekali lagi sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Menengah Vokasional Lebuh Cator Ipoh. Semua kursus teknikal tidak ditawarkan. Hanya 6 kursus Vokasional dan 5 Kemahiran sahaja ditawarkan. Kursus Vokasional tersebut adalah Elektrik dan Elektronik, Binaan Bangunan, Amalan Bengkel Mesin, Automotif dan Pengurusan Perniagaan. Kursus Kemahiran pula adalah kursus Juru Teknik Rendah Elektronik Industri, JuruKimpal Arka, Pemesin Am,Mekanik Kenderaan Motor dan Furniter Maker.
Dan pada 1 Jan tahun 2013 pula sekolah bertukar lagi kepada Kolej Vokasional yang menawarkan pengajian selama 4 tahun. 7 kursus Vokasional ditawarkan iaitu :-
1.TEKNOLOGI ELEKTRIK
2.TEKNOLOGI ELEKTRONIK
3.TEKNOLOGI AUTOMOTIF
4.TEKNOLOGI KIMPALAN
5.TEKNOLOGI PEMBINAAN
6.TEKNOLOGI PEMESINAN INDUSTRI
7.TEKNOLOGI PENGURUSAN PERNIAGAAN
SIJIL YANG DITAWARKAN :
(jika memenuhi syarat yang ditetapkan oleh LPM, MQA)
1. SIJIL VOKASIONAL MALAYSIA (SVM)-SELEPAS TAMAT TAHUN 2.
2. DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA (DVM) - SELEPAS TAMAT 4 TAHUN
(jika memenuhi syarat yang ditetapkan oleh JPK, MQA)
3. SIJIL SKM (bergantung kepada tahap pencapaian yg diperolehi)